
KUALA LUMPUR – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan pertumbuhan 20 peratus dalam sumbangan e-dagang kepada ekonomi digital tahun ini walaupun dikekang oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MDEC dalam satu kenyataan berkata unjuran pertumbuhan ini mampu dicapai melalui campur tangan aktif oleh pelbagai rakan ekosistem menerusi inisiatif yang berterusan, sambil menambah ia melihat jangkaan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 boleh mencecah sehingga RM170 bilion.
“Kepada orang ramai, perniagaan dan komuniti yang mahu terbabit dalam ruang digital, saya menggalakkan anda untuk bertindak dan mengambil peluang ini, tanpa mengira latar belakang serta sifat perniagaan anda, untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem digital sebaik sahaja negara pulih daripada pandemik COVID-19.
“PENJANA menjadi dorongan yang amat diperlukan untuk memulihkan pendapatan dan gaya hidup, ia menyediakan bantuan bagi kita untuk mengatasi cabaran semasa dan melihat masa depan dengan penuh yakin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri.
Peruntukan kerajaan sebanyak RM700 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk merangsang ekonomi digital akan meningkatkan keyakinan, khususnya dalam melonjak fasa permulaan yang ditandai semasa PKP Bersyarat (PKPB) sehingga memasuki fasa pemulihan atau PKP Pemulihan (PKPP).
Melalui PENJANA, pinjaman di bawah peruntukan Geran Padanan Pendigitalan PKS RM100 juta, Dana Transformasi Teknologi PKS RM500 juta (permohonan dibuka bulan hadapan) dan inisiatif Geran Automasi Pintar RM100 juta yang telah diumumkan sebelum ini, akan diperkemaskan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
MDEC akan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan bagi mengenal pasti cara untuk mengesan dan menilai dalam memastikan lebih 907,065 PKS di Malaysia mendapat manfaat daripada insentif ini.
“Setakat ini, inisiatif pendigitalan PKS MDEC telah diperkukuhkan dengan sejumlah 230 penyedia penyelesaian teknologi termasuk 595 penyelesaian digital dan teknologi untuk menyokong lebih daripada 200 PKS.
“Manakala di bawah program 100 Go Digital MDEC, pihak perbadanan telah melibatkan lebih daripada 100,000 PKS di seluruh negara dengan sokongan 12 rakan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai peningkatan kemahiran serta latihan kemahiran semula, MDEC telah menyediakan RM25 juta untuk program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) bagi melatih rakyat Malaysia untuk memperoleh pendapatan sebagai pekerja bebas dalam ekonomi digital dunia.
GLOW merupakan sub-program di bawah program eRezeki MDEC yang menyediakan latihan, bimbingan dan mentor kepada individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu seperti pengaturcaraan, pereka kreatif, sokongan perniagaan termasuk pentadbiran serta tugas berasaskan bahasa seperti terjemahan dan transkripsi yang membolehkan individu untuk menjana pendapatan digital yang tinggi.
Pada 2019, sebanyak 10,043 peserta GLOW telah menghasilkan sejumlah RM69.26 juta pendapatan melalui tawaran perkhidmatan sampingan khususnya kepada pelanggan antarabangsa.
MDEC juga akan terus menyokong agensi kerajaan yang lain berikutan peruntukan RM2 bilion untuk program peningkatan latihan serta latihan semula bagi pekerja belia dan penganggur, kerana ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang di negara ini.
Sementara itu, pasukan e-dagang MDEC masih lagi dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (KKM) dalam memuktamadkan pelaksanaan pelan kempen ‘Shop Online Malaysia’.
Kempen ini bertujuan menggalakkan orang ramai membeli-belah dalam talian dengan menawarkan kod promosi termasuk pelbagai baucar diskaun melalui platform e-dagang. – Bernama